Feb 17, 2009

Jefferson Airplane


JEFFERSON AIRPLANE merupakan kumpulan rock psychedelic dari San Francisco yang pertama dari era 60-an yang berjaya mendapat pengiktirafan seluruh Amerika. Kumpulan ini yang juga dikenali sebagai Jefferson Starship atau hanya Starship terus kukuh sehingga tahun 1980-an. Airplane telah ditubuhkan pada tahun 1965 oleh Marty Blain yang telah mengupah sebuah kumpulan muzik untuk bermain di kelab Matrix yang bakal dibukanya. Blain telah mengambil Paul Kantner (gitar/vokal), Jorma Kaukonen (gitar/vokal), dan Signe Anderson (vokal). Setelah seksyen sigma kurang memuaskan, Balin telah memujuk Skip Spence (gitar) untuk bermain dram dan Kaukonen menjemput kawannya Jack Casady bermain bass. Syarikat RCA telah mengambil Airplane sebagai artisnya dan hasilnya ialah sebuah album Jefferson Airplane Takes Off yang diterbitkan pada bulan September 1966. Album tersebut kurang mendapat sambutan dan Anderson serta Spence pula meninggalkan kumpulan. Spence digantikan Spencer Dryden dan Anderson pula oleh Grace Slick dari kumpulan Great Society. Barisan baru ini menghasilkan album Surrealistic Pillow pada tahun 1967 dan berjaya menduduki tangga 10 teratas dengan lagu "Somebody To Love" dan "White Rabbit". Kejayaan ini telah meletakkan Airplane sebagai kumpulan terhebat dari San Francisco dan membantu mempopularkan gaya hidup hippie, muzik psychedelic dan pengambilan dadah.

After Bathing at Baxter's (November 1967) merupakan usaha eksperimental yang kurang mendapat sambutan. Namun album Crown of Creation (September 1968) berjaya menduduki carta Top Ten walaupun tidak mempunyai lagi single yang berjaya. Album Live pertama mereka It's Pointed Little Head dikeluarkan pada bulan Februari 1969 dan diikuti dengan Volunteers pada November 1969, sebuah lagi album yang berjaya. Dryden kemudian meninggalkan kumpulan dan digantikan dengan Joey Covington. Papa John Creach (biola) memasuki Airplane pada tahun 1970 dan tahun berikutnya Balin pula keluar.

Album Bark (Ogos 1971) berjaya mencapai tahap emas begitu juga dengan Long John Silver (Julai 1972). Ketika ini Covington telah digantikan dengan John Barbata dan David Freiberg telah masuk menggantikan Balin sebagai penyanyi lelaki utama. Ini diikuti dengan album Live kedua mereka iaitu Thirty Seconds Over Winterland (April 1973).

Kaukonen dan Casady kemudiannya keluar dan digantikan oleh Craig Chaquico (gitar) dan Pete Sears (bass). Ketika ini nama ditukar kepada Jefferson Starship. Kumpulan bernama baru ini berjaya menghasilkan album Dragon Fly pada bulan Oktober 1974 yang berjaya mencapai tahap jualan emas. Balin menganggotai semula Starship dan diikuti pula dengan album Red Octopus pada tahun 1975 dengan lagu Miracles menduduki carta Top Ten. Album seterusnya Spitfire (Jun 1976) dan Earth (Februari 1978) juga berjaya menduduki carta Top Ten.

Kemudian Slick, Balin dan Barbata meninggalkan kumpulan. Aynsley Dunbar seorang pemain dram veteran dan Mickey Thomas penyanyi dari kumpulan Elvin Bishop Group telah memasuki Airplane. Album berikutnya Freesom At Point Zero (November 1979) berjaya mencapai tahap jualan emas dan memasuki carta Top Ten. Slick masuk semula dengan album Modern Times (Mac 1981), diikuti dengan Winds of Change (Oktober 1982), setelah Dunbar digantikan dengan Don Bladwin. Album Nuclear Furniture (Mei 1984) merupakan album terakhir Airplane. Kemudian Kantner yang merupakan anggota asal terakhir meninggalkan kumpulan ini bersama Freiberg. Barisan yang tinggal Slick, Thomas, Chaquico, Sears dan Baldwin meneruskan usaha mereka menggunakan nama Starship.

Pada tahun 1989, Jefferson Airplane bergabung semula dengan anggota asalnya Balin, Kantner, Kaukonen, Casady dan Slick untuk membuat konsert dan menghasilkan sebuah album bertajuk Jefferson Airplane yang dihasilkan pada tahun 1989.

Artikel ini pernah disiarkan pada Jun 2003 dalam satu majalah hiburan tempatan









No comments:

Post a Comment